Saturday 31 March 2012

YANG DIPERTUAN AGONG

Yang di-Pertuan Agong adalah institusi Ketua Negara seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan.  Gelaran rasmi yang penuh bagi baginda adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda menjalankan tugas-tugas seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.  Sebagai Kepala Utama Negara, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dilantik setiap lima tahun mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.

SEJARAH PERLANTIKAN

Pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah berkenan untuk memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong bagi Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu, dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut susunan Raja yang paling lama memerintah. Mengikut susunan ini, Sultan Johor Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang naik takhta pada 1895 adalah yang paling lama memerintah, tetapi baginda, yang ketika itu berusia 84 tahun, telah menolak pencalonan tersebut disebabkan telah lanjut usia.

Yang kedua dalam turutan, Sultan Pahang Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah, yang naik takhta pada 1932, juga telah menolak pencalonan. Maka itu, Raja yang ketiga paling lama memerintah iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan telah sebulat suara dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu.  Sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 1933.

PEMILIHAN YANG DIPERTUAN AGONG

Untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah merupakan Raja yang memerintah di salah sebuah daripada sembilan buah negeri persekutuan iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Perak dan Kelantan. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan tatacara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.

No comments:

Post a Comment