Saturday 31 March 2012

TUN TAN SIEW SIN

 

Tun Tan Siew Sin dilahirkan di Melaka pada 21 Mei 1916. Beliau berasal dari sebuah keluarga Cina pertama yang tinggal di Melaka. Oleh itu beliau fasih berbahasa Melayu. Beliau adalah anak kepada Tun Tan Cheng Lock dan Yeo Yeok Neo. Bapanya telah menghantarnya belajar di sekolah perempuan iaitu Suydaim Girls. Sekarang sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Tinggi Methodist. Tindakan bapanya menghantar ke sekolah ini bertujuan agar Tan Siew Sin tidak terpengaruh dengan budak lelaki yang nakal. Tan Siew Sin adalah seorang pelajar yang cerdik dan selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap ujian. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura dan seorang pelajar yang aktif dalam sukan khususnya pasukan hoki. Pada umur 19 tahun, beliau telah menghidapi penyakit batuk kering dan telah dihantar ke Switzerland untuk menjalani pembedahan.

Pada tahun 1938, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England dan lulus dengan memperolehi Kelas Pertama Kepujian. Bagaimanapun Perang Dunia Kedua tercetus menyebabkan beliau terpaksa kembali ke Tanah Melayu. Beliau telah bekerja di ladang bapanya sebagai seorang penyelia. Bapanya mahu beliau mempelajari pengurusan ladang. Apabila Perang Dunia belaku, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu.

Tentera Jepun telah memusnahkan dan menguasai kepentingan British di Tanah Melayu. Tan Siew Sin dan orang Cina yang pro British merasakan tidak selamat dan telah berpindah ke India. Semasa di India, beliau telah bertugas dengan Kementerian Peperangan Ekonomi (Ministry Of Economic Warfare). Tugas utamanya ialah mengembara ke seluruh India. Kesempatan ini, beliau telah menyaksikan penderitaan rakyat India semasa pemerintahan British. Di samping itu beliau telah menyaksikan perjuangan pemimpin-pemimpin kebangsaan seperti Gandhi dan Nehru. Apabila perang tamat pada 1945, beliau sekeluarga kembali ke Tanah Melayu dan membantu keluarga menguruskan perniagaan. Rentetan itu, beliau telah mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam politik. Bagaimanapun, hasrat terhalang apabila bapanya beranggapan bahawa Tan Siew Sin masih mudah untuk berpolitik. Bapanya juga mahu Tan Siew Sin mengurus dan menumpukan kepada perniagaan keluarganya.

Beliau berkahwin dengan Lim Cheng Neo pada 8 Februari 1947 dan dikurniakan tiga orang anak. Pada tahun 1948, beliau telah dilantik sebagai seorang Anggota Badan Perundangan Persekutuan. Pada masa ini, beliau juga aktif dalam Kelab Loteri Melaka dan memegang jawatan sebagai Presiden Kelab tersebut. Pada masa itu juga, aktiviti komunis amat membimbangkan ketenteraman Tanah Melayu. Mereka yang pro-British akan dibunuh oleh komunis. Tan Siew Sin juga aktif dalam Independence Malaya Party (IMP) yang ditubuhkan oleh Datuk Onn Jafaar. Dalam pilihanraya 1952, IMP telah mengambil bahagian tetapi berjaya memenagi satu kerusi dari 12 kerusi dipertandingkan. Pilihanraya umum telah dimenangi oleh Parti Perikatan diwakili UMNO dan MCA. Oleh itu ia membuktikan bahawa IMP tidak mendapat sokongan ramai. Tidak lama selepas itu, Tan Siew Sin telah berkenalan dengan pemimpin UMNO seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail. Dua tahun kemudian, beliau telah bekerjasama dengan Parti Perikatan. Beliau menjadi Bendahari Parti Perikatan dari 1958 hingga 1965.

Dalam tahun 1956, kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan ke atas Tanah Melayu. Pada masa itu, Tan Siew Sin mencadangkan kepada pemimpin UMNO agar memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu. Cadangan tersebut telah diterima selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO. Tan Siew Sin adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dalam pentadbiran. Oleh itu, beliau telah dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Industri oleh Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka. Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan selama 15 tahun bermula tahun 1959. Sebagai Menteri Kewangan, beliau telah memimpin Perwakilan Malaysia bagi mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau juga menjadi Pengerusi bagi Suruhanjaya Kajian Semula Pilihan Raya bagi Seychelles dan orang asing pertama dalam sejarah British menjadi pengerusi suruhanjaya perlembagaan.

Tan Siew Sin adalah pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel daripada 1970 hingga 1971. Bila Tun Tan Cheng Lock meninggal dunia pada tahun 1960, beliau telah mengambil alih sebagai Presiden MCA. Beliau bersara sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1974 atas sebab kesihatan yang serius. Beliau dilantik sebagai Penasihat Kewangan untuk kerajaan Malaysia. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga meninggal dunia pada 18 Mac 1988.

No comments:

Post a Comment