Saturday 31 March 2012

KUASA TADBIR URUS

Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kuasa tadbir urus kepada tiga bahagian iaitu Kuasa Eksekutif, Kuasa Kehakiman dan Kuasa Perundangan. Pengagihan kuasa ini dibuat di kedua-dua peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai menepati syarat sistem demokrasi berpersekutuan yang menjadi asas pentadbiran negara ini.

KUASA EKSEKUTIF

Kuasa Eksekutif, iaitu kuasa pentadbiran, diperuntukkan di bawah Perkara 39 Perlembagaan Malaysia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi diselenggarakan oleh Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Jemaah Menteri adalah bertanggungjawab terus kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.  Setiap tindakan eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah disalurkan daripada Kuasa Diraja, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagaimanapun, menurut prinsip pemerintahan Demokrasi Berparlimen, Perdana Menteri adalah Ketua Eksekutif.

KUASA KEHAKIMAN

Kuasa Kehakiman adalah dipegang oleh Mahkamah Atasan (yang merangkumi Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Khas, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak); dan Mahkamah Rendah (merangkumi Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret, Mahkamah Syariah, Mahkamah untuk Kanak-kanak, Mahkamah Penghulu dan Mahkamah Anak Negeri) seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan. Ketua Kehakiman ialah Ketua Hakim Negara. Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa meluluskan rang undang-undang yang digubal Parlimen atau oleh Badan Perundangan Negeri.

KUASA PERUNDANGAN

Kuasa Perundangan iaitu kuasa menggubal undang-undang di peringkat Kerajaan Persekutuan terletak pada Parlimen, yang diketuai Yang di-Pertuan Agong dan mengandungi Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Di peringkat Negeri, kuasa ini dipegang Badan Perundangan Negeri masing-masing, yang dipilih lima tahun sekali. Antara lain undang-undang dan peruntukan yang digubal oleh Parlimen termasuklah fungsi menteri-menteri, konvensyen dengan negara-negara luar, penaikan kadar cukai dan pelulusan Bajet negara.

No comments:

Post a Comment