Yang di-Pertuan Agong adalah institusi Ketua Negara seperti yang
telah diperuntukkan oleh Perlembagaan. Gelaran rasmi yang penuh bagi
baginda adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda
menjalankan tugas-tugas seperti yang diperuntukkan di bawah
Perlembagaan, atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
Yang
di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau
Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.
Sebagai Kepala Utama Negara, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi
Angkatan Tentera Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dilantik setiap lima
tahun mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.
SEJARAH PERLANTIKAN
Pada
Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah berkenan untuk memilih gelaran Yang
di-Pertuan Agong bagi Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu, dan
pelantikan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut susunan Raja yang
paling lama memerintah. Mengikut susunan ini, Sultan Johor Sultan Sir
Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang naik takhta pada 1895
adalah yang paling lama memerintah, tetapi baginda, yang ketika itu
berusia 84 tahun, telah menolak pencalonan tersebut disebabkan telah
lanjut usia.
Yang kedua dalam turutan, Sultan Pahang Sultan Sir
Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah
Al-Mutassim Billah Shah, yang naik takhta pada 1932, juga telah menolak
pencalonan. Maka itu, Raja yang ketiga paling lama memerintah iaitu
Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan
telah sebulat suara dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong yang
pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum ditabalkan sebagai Yang
di-Pertuan Agong, baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri
Sembilan sejak 1933.
PEMILIHAN YANG DIPERTUAN AGONG
Untuk
dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah merupakan Raja
yang memerintah di salah sebuah daripada sembilan buah negeri
persekutuan iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perlis,
Terengganu, Kedah, Perak dan Kelantan. Yang di-Pertuan Agong dipilih
oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan tatacara yang ditetapkan dalam
Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis
Raja-Raja.
No comments:
Post a Comment